Wednesday, January 6, 2010

Oleh Dato' Dr Zaki Morad bin Mohd Zaher
Pakar Runding Kanan Nefrologi


MENGESAN PENYAKIT BUAH PINGGANG

Langkah pertama penjagaan penyakit buah pinggang yang lebih berkesan ialah dengan mengesan penyakit ini pada peringkat awal-awal lagi. Pengesanan awal adalah penting terutama sekali jika anda seorang penghidap diabetes kerana penyakit ini akan menyebabkan anda berisiko tinggi bagi menghidap penyakit buah pinggang. Beberapa tanda-tanda dan gejala penyakit buah pinggang yang harus diberi perhatian termasuklah berat badan menurun tanpa sebab, rasa loya atau muntah, letih lesu atau sakit belakang. Tanda-tanda lain termasuk penukaran kekerapan atau corak urinasi, urin yang mengandungi darah atau rasa pedih ketika urinasi, bengkak pada muka, kaki dan abdomen dan kesukaran untuk tidur malam.

Malangnya, kesemua tanda dan gejala ini kebiasaannya tidak akan kelihatan sehinggalah buah pinggang anda telah mengalami kerosakan yang teruk. Ada juga kemungkinan anda langsung tidak akan mengalami sebarang tanda atau simptom tersebut walaupun buah pinggang anda sudah tidak berfungsi lagi. Oleh sebab itu, anda tidak boleh bergantung kepada kesemua tanda dan gejala tersebut untuk mengesan penyakit buah pinggang dan sebaliknya menganggap yang anda tidak mempunyai penyakit tersebut jika anda langsung tidak mengalami sebarang tanda-tanda tersebut.

Cara yang paling tepat untuk mengesan samaada anda mengalami sebarang kerosakan buah pinggang ialah dengan berjumpa doktor anda dan mengambil ujian urin untuk mengesan mikroalbumin dan protein. Kehadiran mikroalbumin (protein dalam jumlah yang kecil) dalam urin menunjukkan bahawa buah pinggang anda telah rosak. Ini terjadi kerana buah pinggang yang rosak tidak dapat menerima balik kebanyakan protein yang telah ditapis, menyebabkan kandungan protein dalam urin semakin meningkat. Kehadiran protein dalam kuantiti yang banyak dalam urin (makroalbuminuria - satu petanda lewat nefropati diabetes) boleh dikesan dengan satu ujian ringkas dengan mencelup stik pengesan ke dalam urin. Sebaliknya, untuk menentukan kandungan protein dalam urin yang sedikit (mikroalbuminuria) - satu petanda awal kerosakan buah pinggang disebabkan diabetes, memerlukan suatu ujian khas.

Jika ujian menggunakan stik pengesan atau ujian mikroalbuminuria menunjukkan keputusan yang positif, adalah baik jika anda mengikut nasihat doktor dan seterusnya mengambil langkah-langkah yang sewajarnya, seperti tertera di bawah, untuk membantu anda mengelak atau melambatkan penyakit ini daripada menjadi bertambah teruk.

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGAWAL PENYAKIT BUAH PINGGANG YANG DISEBABKAN OLEH DIABETES

#1. Teruskan mengurus diabetes anda dengan baik
Tahap glukosa darah yang tinggi, tekanan darah yang tinggi dan kandungan lemak dalam darah yang tidak normal merupakan faktor-faktor utana yang menyumbang kepada kerosakan berterusan buah pinggang anda. Itulah sebab betapa pentingnya untuk anda mengurus faktor-faktor ini dengan sebaik-baiknya agar dapat mengawal penyakit buah pinggang anda. Dalam kata lain, penjagaan diabetes yang baik boleh melambatkan perkembangan penyakit buah pinggang setelah ianya bermula (atau mengelakkannya dari menjadi bertambah teruk terutama sekali apabila ianya dapat dikesan dari awal!). Berikut terdapat cara-cara untuk menjaga diabetes dengan baik dan lebih berkesan:


  • Terus memastikan yang anda mencapai tahap sasaran yang disyorkan bagi glukosa darah, tekanan darah dan lipid dengan mengamal pemakanan yang sihat, mengawal pengambilan karbohidrat, melakukan aktiviti fizikal secara kerap dan mengurangkan berat badan yang berlebihan. Anda juga harus, mengambil ubat-ubat (jika dipreskripsikan) dan sentiasa memantau tahap glukosa darah anda di rumah. Keraplah berjumpa doktor anda bagi mendapatkan rawatan susulan terutama sekali untuk memeriksa tekanan darah dan tahap lipid anda.


  • Sila rujuk jadual di bawah untuk membantu mencapai sasaran penjagaan diabetes anda dengan baik:

    Ujian Darah Tahap yang disyorkan
    Glukosa darah 3.8 mmol/L - 6.1 mmol/L (ketika berpuasa)
    Dan kurang dari 7.8 mmol/L (selepas makan)
    HbA1c Kurang dari 6.5%
    Kolesterol LDL Kurang dari 2.6 mmol/L
    Trigliserida Kurang dari 1.7 mmol/L
    Kolesterol HDL Lebih dari 1.02 mmol/L
    Tekanan darah 130/80 mmHg atau kurang


    #2. Pemakanan Yang Betul
    Mengurus diabetes sahaja adalah tidak mencukupi jika anda sudah menghidap penyakit buah pinggang disebabkan diabetes. Anda juga harus memastikan bahawa buah pinggang anda yang rosak itu tidak akan membahayakan badan anda. Salah satu daripada cara untuk anda menjaga kesihatan diri jika telah menghidap penyakit buah pinggang ialah melalui pengawalan pemakanan (diet).

    Apabila buah pinggang anda sudah tidak boleh berfungsi dengan betul, sisa buangan dan bahan-bahan lain akan berkumpul sehingga tahap yang membahayakan badan anda. Kawalan diet adalah penting untuk mengawal penyakit buah pinggang untuk mengelakkan pengumpulan berlebihan bahan-bahan ini (contohnya natrium, kalium, kalsium, fosforus, cecair dan bahan buangan protein) di mana buah pinggang yang sihat akan dapat membersihkan darah untuk manjaga keseimbangan badan.

    Anda harus bertanya doktor atau pakar diet anda untuk mendapatkan satu pelan diet, di mana ianya akan berfokus kepada nutrien-nutrien berikut:


  • Protein diperlukan untuk penyelenggaraan, tumbesaran dan pembaikan tisu-tisu badan. Ia juga dapat membekalkan tenaga dan membantu anda melawan penyakit. Protein boleh diperolehi daripada ikan, telur, daging dan ayam. Apabila protein diuraikan dalan badan (proses metabolisma), ia akan menghasilkan bahan-bahan buangan. Salah satu daripada bahan buangannya dikenali sebagai urea. Kandungan urea yang tinggi dalam badan akan menyebabkan rasa loya, muntah dan hilang selera makan. Anda mungkin perlu memulakan diet yang rendah protein (tetapi tidak terlalu rendah) untuk memastikan kandungan bahan buangan masih dalam linkungan tahap yang boleh diterima disamping memastikan badan anda mendapat protein yang ia perlukan.


  • Natrium membantu pengaturan kandungan cecair dan tekanan darah. Sumber yang paling biasa didapati ialah garam makan, walaupun ia memang terkandung dalam kebanyakan makanan. Natrium yang berlebihan akan mengakibatkan peningkatan cecair dalam badan serta tekanan darah yang tinggi. Oleh itu, anda perlu mengurangkan pengambilan natrium contohnya tidak memakan makanan yang masin dan tidak menambah garam kepada makanan anda.


  • Kalium diperlukan untuk saraf-saraf dan otot-otot termasuk jantung supaya berfungsi dengan normal. Makanan yang kaya dengan kalium termasuklah kentang, sayur-sayuran berdaun hijau dan pisang. Jika kandungan kalium (potassium) menjadi terlalu tinggi, ia akan menyebabkan kelemahan pada otot dan denyutan jantung yang tidak tetap. Justeru itu, anda perlu mengikuti pelan diet yang mempunyai kandungan kalium yang bersesuaian.


  • Kalsium dan fosforus diperlukan untuk pembentukan tisu tulang. Walaubagaimanapun, kandungan fosforus yang tinggi pada buah pinggang yang sudah gagal berfungsi boleh menyebabkan kalsium larut lesap dari tulang-tulang anda dan menyebabkan tulang menjadi lemah dan rapuh. Inilah sebabnya anda harus menghadkan pengambilan fosforus. Makanan yang mempunyai kandungan fosforus yang tinggi termasuklah susu dan produk tenusu yang lain serta kekacang.


    # 3. Mengawal pengambilan cecair
    Buah pinggang yang sihat dapat mengelakkan pengumpulan cecair dalam badan anda dengan menyingkirkan cecair berlebihan melalui urin. Itulah sebabnya, apabila buah pinggang anda sudah tidak berfungsi dengan baik, cecair akan terkumpul dalam tisu-tisu badan, saluran darah dan juga paru-paru anda. Ini akan memberi tekanan pada jantung anda, menyebabkan tekanan darah tinggi dan kesukaran untuk bernafas. Anda juga mungkin akan mengalami tukaran dalam corak dan kekerapan urinasi (satu daripada petanda penyakit buah pinggang). Jadi, anda harus mengikuti nasihat doktor jika anda diperlukan untuk menghadkan pengambilan cecair dan merancang pengambilan cecair harian anda.

    # 4. Makan ubat-ubatan anda
    Doktor anda mungkin akan memberi ubat-ubat yang tertentu sebagai tambahan kepada aturan diet anda. Ubat-ubatan ini akan membantu mengurangkan tekanan darah tinggi anda, meningkatkan kandungan kalsium dalam darah atau membantu keadaan-keadaan lain yang berkaitan dengan penyakit kegagalan buah pinggang. Anda haruslah sentiasa tekun untuk memakan ubat-ubatan anda.

    Peringkat akhir kerosakan buah pinggang haruslah dielakkan selagi boleh. Anda boleh mengelakkannya dengan mengawal penyakit diabetes dan penyakit buah pinggang anda secara serentak dan teliti. Dengan mengikuti segala nasihat yang diberikan oleh doktor, anda mempunyai peluang yang baik untuk mengelakkan buah pinggang anda dari menjadi bertambah teruk.

    Walaupun anda sudah mengalami peringkat akhir kerosakan buah pinggang dan sedang menjalani rawatan dialisis (rawatan perubatan yang menggunakan mesin dialisis untuk mengeluarkan bahan buangan dan cecair yang berlebihan dalam badan terus daripada darah bagi mereka yang kegagalan buah pinggang), anda masih boleh mengawal penyakit menerusi penjagaan diet, mengawal pengambilan cecair dan mengambil ubat-ubatan yang dipreskripsikan oleh doktor. Ini adalah kerana proses dialisis masih tidak dapat mengeluarkan kesemua bahan buangan dari badan anda. Walau bagaimanapun, keperluan diet, kawalan pengambilan cecair dan ubat-ubatan mungkin perlu sentiasa diteliti dan diubahsuai. Doktor anda akan dapat menasihati anda berasaskan keadaan semasa anda.

    SATU PESANAN
    Walaupun menghidap diabetes, anda masih boleh menjalani hidup yang bermakna melalui penjagaan yang betul. Ada lagi berita baik: anda mempunyai kuasa penuh untuk mengelak atau mengawal penyakit buah pinggang disebabkan diabetes anda menjadi lebih teruk. Ambillah langkah positif ini untuk memulakan hidup yang sihat. Janganlah tunggu sehingga ianya menjadi sudah terlambat.

    Program "Menangani Wabak Diabetes" ini disokong dengan geran pendidikan tanpa syarat sumbangan, program Taj Mahal 'Rice For Life', OneTouch Centre oleh Lifescan (syarikat Johnson & Johnson), Pharmaniaga Berhad, Glucerna SR oleh Abbott, Gardenia Breakthru' dan All Eights. Untuk pertanyaan, sila hubungi Talian: (03) 7876 1676/7876 1677.

    Tanda-tanda Awal Penyakit Buah Pinggang

    Tanda-tanda awal sakit buah pinggang

    1)Sakit atau susah bila kencing
    2)Kencing lebih kerap terutama sebelah malam
    3)Kencing yang bercampur dengan darah
    4)Bengkak di keliling kedua-dua mata , tangan dan kaki terutama bila berlaku pada kanak-kanak.

    5)Sakit disebelah buah pinggang(tiada kaitan dngn buah pinggang).
    6)Tekanan Darah Tinggi