Wednesday, August 22, 2007

SAYANGI LAH BUAH PINGGANG ANDA

Terletak dibahagian bawah belakang tulang rusuk,dan berat 0.5% dari keseluruhan berat badan.Fungsi buah pinggang ini adalah mengawal tekanan darah,dimana ia mengawal keseimbangan garam galian dalam badan,mengawal penghasilan darah merah,mengawal kesihatan dan ketumpatan tulang.
Punca utama penyakit ini adalah berpunca dari diabetes,tekanan darah tinggi yang melampau,memakan ubat tahan sakit dan sebagainya dan bermacam-macam lagi.Pesakit diabetes adalan penyakit yang banyak menyumbangkan pesakit menghidapi sakit buah pinggang iaitu sebanyak 75% dari keseluruhan pesakit ginjal ini.
Kini terdapat lebih 15 ribu orang pesakit yang menjalani dialisis dan dianggarkan lebih 2 ribu orang pesakit baru setiap tahun.Tanda-tanda awal penyakit ini adalah kencing seseorang itu menjadi berkeladak,lama-kelamaan apabila tidak dirawat dengan betul dan tidak berjumpa doktor maka kegagalan buah pinggang akan bermula dan tanda-tandanya adalah cepat merasa letih dan lesu,kurang selera makan,dan rasa mual dan muntah,kaki akan mula membengkak dan sesak nafas,kadangkala orang menyalah tafsir kerosakan ginjal adalah sakit pinggang.
Individu-individu yang berisiko tinggi adalah mereka yang mempunyai penyakit diabetes,penyakit darah tinggi,mempunyai ahli yang terdekat yang menghidapi sakit buah pinggang,dan mereka yang kerap memakan ubat tahan sakit,ada juga kes yang tidak tahu apa puncanya.Kepada mereka-mereka yang mengambil berat atau pun masih belum lagi tahu berkenaan penyakit ini digalakan dapatkan pengesahan doktor sekiranya anda tergolong dalam kumpulan berisiko ini.Ujian-ujian makmal ini nanti akan menentukan berapa banyak kandungan urea dan creatinine dalam darah seseorang,dan berapa tinggi paras gula dalam darah seseorang serta berapa banyak protien dalam air kencing.
Pesakit yang telah menjalani rawatan dialisis adalah dalam kategori peringkat 5,pada mereka yang berada di peringkat 1-4 adalah disarankan agar dapat ikut nasihat doktor dengan betul di samping mengamalkan cara hidup yang sihat dengan memakan makanan yang berkhasiat,mengawal berat badan mengikut tinggi seseorang itu,melakukan senaman lebih kerap serta berhenti dari merokok,mengawal paras gula dalam darah semasa berpuasa adalah kurang 6m mol/L 2 jam selepas makan adalah kurang 11m mol/L,serta mengawal tekanan darah dibawah 130/80mmHg dan pada mereka yangair kencing mereka mengandungi protinuria adalah dibawah 120/75mmHg.
Sebagai mesyarakat yang telah menhidapi penyakit ini kami ahli dalam persatuan merayu agar pada mereka yang sayangkan ginjal mereka haruslah mula memastikan ginjal mereka dan kesihatan mereka dalam keadaan sihat disamping mengamalkan cara hidup yang sihat,selalu periksa darah mereka agar doktor dapat memberi nasihat untuk diri anda tidak termasuk dalam golongan penyakit ini.

Tuesday, August 21, 2007

Pengalaman Pemindahan Buah Pinggang

Pengalaman Rosnah jalani pemindahan buah pinggang
(Artikel dipetik dari Utusan Malaysia Online-Kesihatan)
Oleh ROSNAH MAJID.
Rosnah Majid adalah bekas Pengarang Ekonomi Utusan Malaysia dan kini Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Merbok, Kedah. Beliau disahkan menghidap kegagalan fungsi buah pinggang enam bulan lalu. Bagaimanapun, selepas menjalani satu pembedahan pemindahan buah pinggang, beliau kini telah sihat dan kembali meneruskan tugasnya sebagai Exco Penerangan, Tenaga, Telekomunikasi dan Multimedia Kedah.

``YANG Berhormat mengalami kerosakan buah pinggang. Sudah 95 peratus rosak, hanya 5 peratus yang masih berfungsi,'' demikian Datuk Dr. Zaki Morad Mohamad Zaher, Ketua Institut Urologi dan Nefrologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) memberitahu saya dan keluarga pada pagi 27 Jun 2001.
Tanpa menunjukkan apa-apa reaksi, saya mendengar dengan tenang, tetapi dalam hati bagai disambar halilintar. Bagaimana dengan tugas saya yang begitu banyak? Bagaimana dengan kawasan? Bagaimana dengan parti? Bagaimana itu dan bagaimana ini? Semuanya datang silih berganti dalam fikiran saya.

``YB ada dua pilihan untuk menghadapi keadaan ini. Pilihan pertama ialah dialisis. Dialisis ada dua cara iaitu peritoneal dialisis, menggunakan air di mana YB perlu buat hanya sekali dalam seminggu, tetapi memerlukan masa tiga hari dua malam sekali buat.''
``Hemodialisis iaitu dialisis darah perlu dibuat tiga kali seminggu di mana sekali buat memerlukan empat jam. Jika rawatan dialisis menjadi pilihan YB, bermakna YB kena membuatnya sepanjang hayat,'' jelas Dr. Zaki tentang masa depan saya sebagai pesakit buah pinggang.

``Pilihan kedua iaitu yang terbaik ialah membuat pemindahan buah pinggang. Selepas pemindahan buah pinggang YB tidak perlu lagi membuat dialisis. Jika ada penderma di Malaysia, kami boleh buat di sini. Tetapi sebelum membuat pembedahan, YB kena buat dialisis terlebih dahulu,'' terang beliau lagi.
Ketika itu juga saya membuat keputusan. Keputusan saya ialah saya mahu yang terbaik untuk saya iaitu sudah tentu pemindahan buah pinggang. Sewaktu Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad melawat saya di wad, inilah keputusan yang saya dan Dr. Zaki beritahu kepada Perdana Menteri.

Dengan kata-kata Dr. Zaki itu, tiba-tiba saya memasuki dunia pesakit buah pinggang, satu dunia tersendiri yang muram. Kita sering lupa bahawa buah pinggang merupakan organ yang sangat penting. Mungkin kerana itulah Allah memberikan manusia dua biji buah pinggang walaupun manusia hanya memerlukan satu saja. Ia berfungsi sebagai penapis yang membersihkan darah dengan memastikan mana-mana kandungan yang diperlukan oleh badan ditinggalkan dalam darah, sementara yang tidak diperlukan dikeluarkan bersama air kencing.
Bayangkan jika penapis itu rosak, ia akan membuatkan bahan yang perlu dibuang tertinggal dalam darah, sebaliknya bahan yang diperlukan seperti protein dikeluarkan dalam air kencing. Inilah yang terjadi kepada pesakit buah pinggang.

Pada bulan Jun lalu, saya sebenarnya masuk ke Wad 21 HKL untuk merawat tekanan darah tinggi. Tidak terlintas langsung dalam fikiran saya bahawa masalah kesihatan saya adalah soal buah pinggang.

Pada hari ketiga saya di wad, serombongan doktor dari Institut Urologi dan Nefrologi, diketuai Dr. Zaki datang ke Wad 21 untuk memberitahu yang saya akan dipindahkan ke wad institut tersebut. Sewaktu di wad institut itulah berita sebenar tentang buah pinggang saya dimaklumkan kepada saya dan keluarga.

Dr. Zaki mendesak saya segera memulakan dialisis kerana kandungan kreatinin dalam darah saya sudah tinggi. Manusia normal mempunyai tahap kreatinin di antara 64 hingga 122.
Saya meminta sedikit masa untuk bersedia dari segi mental dan emosi. Langkah pertama saya ialah pergi melihat sendiri bagaimana pesakit buah pinggang membuat dialisis. Saya turun ke bilik dialisis dan itulah kali pertama saya melihat mesin dialisis dan bagaimana pesakit bergantung hidup mereka kepada mesin itu sehingga ke akhir hayat.

Melihat keadaan itu saya semakin yakin bahawa keputusan saya adalah yang terbaik. Bermula dari saat itu keluarga saya terus mencari jalan bagaimana saya dapat segera menjalani pemindahan buah pinggang.

Kakak saya yang kebetulan kenal baik dengan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Lajim Ukim, segera menghubungi orang kuat beliau, Sabdin Ghani. Saya menelefon Lajim dan beliau memberi jaminan akan membantu saya untuk menjalani pembedahan di sebuah hospital di Guangzhou, China di mana beliau sendiri menjalani pembedahan sama yang berjaya pada tahun 1998.

Oleh kerana hospital itu tidak membenarkan namanya disebut di dalam akhbar, maka saya tidak dapat menyebut nama dan maklumat terperinci di sini.
Saya memilih untuk mendapat rawatan di luar negara atas dua sebab. Pertama, di sana saya dapat peluang menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang dengan cepat. Dengan itu saya boleh segera kembali bertugas. Kedua, saya tidak mahu mengenali siapa penderma kerana jika saya kenal, saya tidak akan berasa tenteram.

Dua hari selepas penerangan Dr. Zaki di HKL, saya mula membuat peritoneal dialisis. Jarum dicucuk di bawah pusat untuk dimasukkan air yang diputar melalui mesin selama tiga hari dua malam menggunakan dua puluh beg air. Setengah jam pertama saya mengalami kesakitan dengan badan terasa sejuk hampir terkancing gigi dan bahu mengalami lenguh yang amat sangat.

Tetapi selepas itu keadaan kembali terkawal dan sistem badan saya sudah boleh menerima putaran air tersebut. Selepas dialisis itu keadaan saya menjadi lebih baik dan saya dibenarkan balik ke rumah, tetapi saya mesti kembali untuk memulakan hemodialisis.
Sementara itu saya menerima ramai tetamu, kaum keluarga dan sahabat handai yang kesemuanya mengambil berat keadaan saya. Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain dan bos lama saya Datuk Zam datang ke rumah. Dua malam sebelum berangkat ke Guangzhou, China, keluarga saya membuat kenduri dan bacaan Yasin, mendoakan semoga saya selamat. Ramai keluarga, jiran, kawan-kawan dari Utusan dan kawasan Dewan Undangan Negeri Merbok hadir.

Dua hari kemudian saya berangkat ke KLIA dari hospital. Di lapangan terbang saya bertemu dengan dua orang kuat Lajim yang ditugaskan untuk membantu saya di China iaitu Sabdin dan Lok Eow Chong atau Ah Lok. Kakak saya dan kawan baik saya, Siti Hawa Hashim ikut serta. Keluarga dan kawan-kawan menghantar saya dengan iringan doa.

Penerbangan memakan masa kurang daripada tiga jam. Waktu dan cuaca Guangzhou pada bulan Julai adalah hampir sama dengan Malaysia. Di lapangan terbang, Naib Konsul Malaysia di sana, Puan Omi Kalsom Kamadin dan Oi Eng Cheng, kakitangan Konsulat Besar Malaysia di Guangzhou, menunggu ketibaan saya.

Kami terus ke hospital itu. Apa yang saya boleh sebutkan mengenai hospital itu ialah ia mempunyai konsep yang unik di mana kemudahan dan perkhidmatannya cukup baik. Hospitalnya berada dalam taman sementara bilik wad tidak ubah seperti hotel di mana pesakit tidak berasa mereka berada di hospital

Saya yang sudah hampir dua bulan hilang selera makan, berselera sebaik saja tiba. Mungkin suasana di sana turut mempengaruhi diri saya. Apabila sudah makan, saya rasa bertenaga. Saya mula bersenam dengan berjalan dua kali sehari.

Pada hari ketiga di hospital itu, saya sudah boleh melupakan lif, sebaliknya menggunakan tangga untuk naik turun dari tingkat empat. Selera saya menjadi lebih baik apabila doktor di sana memberitahu yang saya boleh makan apa saja yang saya suka. Bahagia. Saya perlukan kesihatan yang baik untuk menghadapi pembedahan.

Di Guangzhou, Ah Lok adalah segala-galanya buat saya. Beliaulah jurubahasa (semua perbualan dalam bahasa Mandarin), jururunding, penasihat dan penjaga yang menjaga saya seolah-olah saya anaknya sendiri. Pengaruh Ah Lok ke atas hospital itu begitu nyata. Daripada ketua jabatan, doktor pakar, jururawat, pencuci bilik, jaga hinggalah penjual di pasar, semuanya kenal Ah Lok. Tanpa beliau tidak mungkin saya dapat segera mengatasi masalah saya. Malah beberapa pesakit dari negara lain berjumpa saya untuk mendapatkan pertolongan Ah Lok bagi membantu mereka mendapatkan buah pinggang segera.

Saya sempat membuat hemodialisis empat kali di Guangzhou sebelum pembedahan. Saya sungguh bernasib baik kerana sudah mendapat buah pinggang yang sesuai dengan darah dan sel saya pada hari kesebelas saya berada di sana. Ramai pesakit yang terpaksa menunggu berbulan-bulan bukan kerana tidak ada buah pinggang yang didermakan, tetapi buah pinggang tidak sesuai dengan pesakit.

Setelah melalui proses biasa sebelum pembedahan, saya disorong ke bilik bedah kira-kira pukul tiga pagi. Terbaring di atas kereta sorong yang melintasi jejambat, sambil memejam mata saya dapat merasakan cuaca di luar bangunan begitu hening, angin sejuk menyapa pipi saya dan suasana begitu damai.

Sebelum tiba di bilik bedah, saya mengambil keputusan menyerahkan diri saya sepenuhnya kepada Allah subhanahu wa taala. Saya memohon supaya Allah memberikan yang terbaik buat diri saya. Sebaik saja saya pasrah, saya merasakan bahu saya menjadi ringan dan saya menjadi lebih tenang untuk menghadapi pembedahan tersebut.

Di hospital itu, setiap pesakit diberi pilihan sama ada mahu sedar atau mahu dibius sepenuhnya sepanjang pembedahan. Saya pilih untuk sedar kerana saya mahu tahu apa yang berlaku kepada diri saya.

Sebaik saja berada di meja bedah, doktor mula menyuntik ubat bius. Dari dada hingga ke kaki terasa berat dan kebas. Doktor meminta panduan daripada saya untuk memberitahu mereka sama ada sudah kebas ataupun tidak dengan menekan satu alat di perut saya.

Bila berasa tekanan pertama, saya beritahu mereka yang saya belum berasa kebas, jadi ``jangan buat apa-apa lagi.'' Sebentar kemudian mereka menekan lagi dan saya beritahu mereka, ``Tuan doktor boleh memulakan tugas tuan.''

Oleh kerana ubat bius itu terlalu kuat bagi tubuh saya yang kecil, saya tidak dapat membuka mata, tetapi telinga saya mendengar segala perbualan para doktor, mendengar perkakas bedah diletak di dalam talam dan fikiran saya terang.

Pada mulanya saya rasa seperti doktor melukis di atas perut saya. Tetapi oleh kerana suhu di bilik bedah itu sejuk atau waktu itu pukul tiga pagi, saya terlelap. Apabila saya terjaga, saya bertanya dalam bahasa Inggeris, ``Berapa lama lagi?'' Salah seorang doktor menjawab, ``Lima minit lagi.''

Saya mula mengira-ngira berapa lama sebenarnya lima minit di atas meja bedah! Sebentar kemudian, doktor memberitahu, ``sudah siap.'' Saya dipindahkan ke atas kereta sorong. Saya sempat mengucapkan sei-sei (terima kasih) kepada para doktor.

Saya segera disorong ke bilik ICU untuk penjagaan rapi selama sepuluh hari tanpa boleh ditemui oleh keluarga. Ada pesakit yang sudah boleh keluar pada hari ketujuh ataupun kelapan.
Setiba di ICU saya tertidur. Apabila terjaga saya dapati drip dimasukkan melalui kaki kiri dan tangan kanan. Dua tiub lagi - satu tiub darah terletak di kanan katil saya untuk mengalirkan darah dari tempat luka dan satu lagi tiub air kencing - terletak di kiri saya.

Waktu itu saya teringatkan taklimat Ah Lok kepada saya sebelum saya dibedah. Kata Ah Lok, ``Salah satu tanda penting pembedahan berjaya, pesakit mesti fang pi (kentut). Ada pesakit yang tidak fang pi selama dua tiga hari. Fang pi ini sangat penting. Menang loteri atau jadi YB pun tak sama bah!'' Kira-kira sejam selepas terjaga saya sudah mula fang pi!

Sebentar kemudian empat orang doktor yang bertanggungjawab melakukan pembedahan pemindahan buah pinggang saya datang. Keempat-empat mereka boleh bertutur sedikit dalam bahasa Inggeris. Ketuanya memberitahu saya, ``Puan mendapat buah pinggang yang cukup baik. Pembedahan yang dilakukan selama dua setengah jam sangat berjaya. Kami tidak usik buah pinggang yang ada. Kami tambah yang baru. Puan kini ada tiga buah pinggang.''

Saya sedar bahawa proses pemulihan selepas pembedahan itu terletak pada bahu saya. Saya mesti bersiap sedia bagi melakukan yang terbaik. Saya mula set otak saya ke arah itu. Saya memberitahu doktor yang saya mahu berada di ICU selama sepuluh hari. Saya tidak mahu jalan pintas. Saya mengamalkan disiplin diri yang tinggi dengan mengikut segala arahan doktor.

Buah pinggang baru ini sudah mula berfungsi sebaik sahaja ia dimasukkan ke badan saya. Saya berasa ia seolah-olah memang asalnya kepunyaan saya tetapi selama ini berada di tempat lain dan kini pulang semula kepada tuannya.

Pada hari pertama sahaja, ia memproses hampir lapan liter air kencing. Doktor geleng-geleng kepala kerana gembira. Kandungan kreatinin dalam darah saya telah turun ke paras 530 pada hari pertama, manakala tekanan darah juga sudah terkawal. Ertinya buah pinggang baru ini mula berfungsi dengan baik ke arah normal.

Pada hari kedua, kreatinin turun kepada 300, hari ketiga 200 dan hari keempat 122 iaitu sudah normal. Sementara tekanan darah saya mula turun mencecah 140/90.
Pada hari pertama di ICU, saya tidak boleh makan apa-apa kecuali ubat. Belum pernah dalam hidup saya memakan ubat sebanyak di ICU itu.

Pada hari kedua barulah saya boleh makan bubur nasi cair. Saya dikurniakan selera yang sangat baik sepanjang di ICU. Bubur nasi cair kosong pun habis saya makan tanpa masalah.
Hanya Ah Lok yang dibenarkan masuk melawat saya di ICU. Beliau dibenarkan menyediakan bubur nasi serta minuman khas untuk saya atas arahan doktor. Minuman itu terdiri daripada buah kundur, lobak merah, barli, bulu jagung serta herba Cina yang direbus dengan air sehingga tinggal separuh. Kata Ah Lok, minuman ini baik untuk buah pinggang.

Saya melalui proses pemulihan yang sangat baik dan cepat. Darah tidak banyak keluar sementara air kencing terus mengalir dengan banyak. Pada hari ketiga darah sudah berhenti dan esoknya doktor mula membuang tiub darah. Pada hari kelima tiup kencing pula dibuang. Saya menjadi pesakit kebanggaan para doktor di hospital itu.

Oleh kerana kadar sembuh saya begitu cepat, para doktor menjadi lebih berhati-hati. Walaupun saya sepatutnya sudah boleh berjalan sebaik saja semua tiub dibuang, tetapi mereka tidak mahu mengambil walau sekecil mana pun risiko.

Pada hari kelapan, baru doktor memimpin saya turun dari katil untuk berjalan. Kali pertama saya menapak saya terasa sesuatu menyucuk di tapak kaki, maklumlah telah lapan hari terbaring di katil. Saya dibawa ke tingkap untuk melihat ke arah luar tingkap hospital. Ketika itu saya rasakan alangkah indahnya dunia di luar sana. Saya melihat beberapa bangunan sedang dalam pembinaan menandakan program pembesaran hospital itu sedang rancak berjalan.

Pembantu jururawat yang menjaga saya menelefon Ah Lok memberitahu bahawa saya sudah boleh berjalan. Ah Lok segera datang ke ICU. Saya berjalan perlahan-lahan keluar dari bilik menuju ke koridor di mana Ah Lok menunggu. Melihat saya berjalan ke arahnya Ah Lok mengangkat kedua-dua tangannya dan berkata, ``Syukur.'' Saya nampak dia menahan sebak.
Saya seolah-olah anak kecil yang baru kali pertama berjalan, menapak perlahan-lahan dengan senyum lebar ke arah bapanya.

Mulai hari itu saya mula melakukan senaman dengan berjalan perlahan-lahan di dalam bilik. Esoknya saya mula berjalan di koridor hospital.
Pada hari kesepuluh saya dibenarkan turun ke bilik sendiri. Sepuluh hari di ICU, berat badan saya naik 4kg. Di bilik sendiri saya sekali lagi dijaga rapi. Sepuluh hari selepas ICU saya perlu terus menjaga diri saya dengan teliti. Hari-hari berikutnya saya sudah dibenarkan berjalan di taman.

Dua hari selepas keluar ICU, kakak saya yang terpaksa pulang sebentar ke Malaysia datang semula bersama emak. Waktu itu keadaan saya bertambah sihat dan saya sudah boleh menguruskan diri sendiri.

Sembilan hari selepas keluar dari ICU, saya dibenarkan pulang ke tanah air. Dua hari sebelum pulang, kami membuat sedikit kenduri kesyukuran dengan menjemput kakitangan Konsul Besar Malaysia yang sentiasa melawat dan membantu kami, termasuk Konsul Besar Osman Samin dan kenalan-kenalan baru di Guangzhou. Doa dibacakan oleh Imam Masjid Guangzhou, Haji Abdullah Mohamad Wang Wenjie.

Setiba di KLIA, saya segera dibawa ke HKL atas permintaan saya. Saya mahu HKL memeriksa saya dan apabila mereka berpuas hati barulah saya pulang ke rumah. Dr. Zaki dan doktor-doktor lain berpuas hati dengan perkembangan saya dan mereka membenarkan saya pulang pada hari ketiga.

Saya mengambil cuti sakit selama tiga bulan selepas pembedahan untuk HKL terus mengikuti perkembangan saya tiga kali seminggu. Perkembangan saya sangat baik dan doktor sudah mula mengurangkan ubat yang saya ambil. Saya berasa cukup sihat.

Tiga bulan selepas pembedahan, saya sekali lagi kembali ke Guangzhou untuk diperiksa oleh para doktor di sana. Semuanya berpuas hati dengan fungsi buah pinggang baru saya. Pada akhir Oktober saya sudah dapat kembali bertugas.

Saya menulis rencana ini bertujuan menolong mereka yang senasib dengan saya, yang mempunyai kemampuan kewangan, tetapi tidak tahu ke mana hendak dituju kerana tiada penderma. Atau pun mereka yang tahu ke mana hendak dituju tetapi terlalu takut untuk menghadapi pembedahan. Sebenarnya perasaan takut itulah yang lebih berbahaya daripada pisau bedah.

Apa yang perlu dibuat oleh pesakit yang secara tiba-tiba diberitahu yang mereka menghidap kerosakan buah pinggang?
Pertama, pesakit mesti menerima hakikat mereka sakit. Ramai pesakit, terutama mereka yang sentiasa sibuk, tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka sedang sakit. Perkara ini menjadi halangan mental yang boleh melambatkan pesakit membuat keputusan penting dengan cepat. Lagi cepat mereka terima hakikat, lagi cepat mereka dapat mencari jalan keluar.

Kedua, pesakit mesti membaca dan mengetahui dengan jelas mengenai sakit yang mereka hidapi dan bagaimana cara menghadapi dan mengatasinya. Ertinya pesakit mesti terlibat secara sepenuhnya dengan sakit mereka itu. Ini termasuklah mengikuti perkembangan dunia perubatan moden.

Ketiga, pesakit mesti mempunyai kekuatan mental, fikiran dan sikap positif terhadap hidup. Ini menguatkan daya juang mereka. Fikiran dan sikap positif inilah yang menjadi faktor utama seseorang pesakit itu cepat sembuh. Elok juga mereka membaca buku-buku yang dapat memberi semangat kepada mereka. Saya membaca buku Chicken Soup For Surviving Soul mengenai bagaimana pesakit-pesakit barah melawan sakit mereka dan berjaya.

Keempat, jangan melayan fikiran negatif seperti, ``dalam berjuta orang kenapa aku?'' Malah anggap sakit itu sebagai peluang untuk mendapat kesihatan yang lebih baik.

Kelima, dapatkanlah mereka yang mempunyai pengalaman mengatasi masalah sakit buah pinggang dan berjaya menjalani pembedahan pemindahan serta kemudian dapat menjalani kehidupan normal. Perkongsian pengalaman ini sangat penting. Kini saya bersedia membantu. Malah sebuah persatuan penerima organ buah pinggang baru saja diluluskan untuk tujuan yang sama.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada:
Rosnah Majid (Pertanyaan Buah Pinggang)
d/a Pengarang Mingguan Malaysia,
Jalan Chan Sow Lin,
55200 Kuala Lumpur.

Monday, August 20, 2007

Latarbelakang

Syukur Elit Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat milik bumiputra yang menjalankan perniagaan mengurus pusat dialisis sejak 2003 sehingga kini. Pusat Rawatan Dialisis Syukur Elit merupakan pusat rawatan Dialisis Muslim yang pertama di Selangor ketika penubuhannya. Alhamdulillah sekarang kami telah berpindah ke premis perniagaan yang lebih selesa dalam memberikan rawatan dialisis bertaraf pakar kepada pesakit-pesakit buah pinggang di sekitar lembah Kelang khususnya mereka yang tinggal di kawasan Shah Alam ,Klang, Sg Buloh, Damansara dan Puchong. Sehingga hari ini Syukur Elit mempunyai seramai 10 orang kakitangan terlatih dalam bidang perubatan dan merawat seramai 50 orang pesakit.